ASK MY CHAUFFER , PLEASE !

Sebelum Den sembang panjang lebar, Den nak minta maaf sebab,takut ada pihak yang akan tersinggung dengan definisi chauffer yang menjadi tajuk artikel Den kali ini. Dari  segi definisi; perkataan chauffer adalah dari bahasa Prancis yang membawa maksud; pemandu profesional yang dibayar oleh majikan untuk mengemudi kendaraan bermotor. Dalam bahasa melayu, kita kenali sebagi pemandu rasmi dan ia biasanya dibahagi dalam dua kategori iaitu, pemandu peribadi yang memandu kenderaan peribadi seseorang dan satu lagi pemandu khusus bekerja untuk industri pengangkutan awam  seperti teksi, bus, ataupun lori.

Dalam konteks penulisan Den kali ini, penggunaan perkataan ‘chauffer’ pada dasarnya adalah sebagai satu metafora sahaja. Metafora disini bermaksud; pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan dan ianya adalah sebagai satu perbandingan atau kiasan); bila Den cuba  memetaforakan menjadikan pemakaian kata atau kata-kata sebagai metafora. Dan bukanlah maksud Den nak memandang rendah terhadap “chauffer”.

Den nak sembang mengenai kisah  yang Den baca  mengenai Charlie Munger, rakan kongsi perniagaan jutawan Warren Buffett, yang membincangkan mengenai “Real Knowledge and Chauffer Knowledge”  dan bagaimana  untuk membezakan antara dua jenis pengetahuan yang ada pada diri seseorang: samada pengetahuan sebenar atau  berpura-pura berpengetahuan.

Semasa memberi ceramah di sebuah institusi Perundangan di Jerman, beliau telah mengisahkan bagaimana Profesor Max Planck, seorang ahli fizik terkenal yang telah memenangi Hadiah Nobel kerana kajiannya mengenai sains fizik. Menurutnya;

Prof. Mac sering dipanggil untuk memberi kuliah @ syarahan berkaitan sains fizik kuantum di pelbagai institusi pengajian di Jerman. Setiap kali Profesor Mac Planck pergi memberi ceramah di merata tempat, ia biasanya akan menaiki kenderaan yang dipandu oleh chauffer peribadinya.

Dalam masa yang sama, Chauffernya akan sentiasa berada di dalam dewan semasa  Prof. Mac Plank memberi kuliah. Selain dari itu, beliau juga sering mendengar Prof. Mac memberitahunya mengenai subjek tersebut semasa mereka dalam perjalanan untuk memberi syarahan.  Sehinggakan pada satu peringkat, Chauffer tersebut, begitu yakin telah mengetahui segala isi kandungan ceramah yang biasa  diberikan oleh Prof Mac mengenai ‘sains fizik kuantum dan beliau telah menghafalnya.

Pada satu  hari, semasa di dalam perjalanan untuk menyampaikan kuliah, Chauffer dengan begitu yakin dengan pengetahuan yang ada padanya berkata kepada Prof. Mac Planck,

" Profesor Planck, saya rasa Prof tentu telah bosan dan jemu untuk memberi kuliah yang sama mengenai sains fizik ini kerana ia sudah menjadi satu rutin Prof yang  begitu lama. Dan amat membosankan”

Prof Mac menjawab;

“Sudah tentu !”

Lalu Chauffer tersebut mencadangkan:

“Bagaimana jika kali ini  saya pula memberi ceramah di Munich dan Prof hanya duduk di depan memakai topi pemandu saya? “

Prof. Planck berkata:

" Kenapa tidak? “

Semasa tiba di dewan kuliah, Chauffer itu dengan lancar dan penuh keyakinan  memberi satu kuliah panjang ini mengenai mekanik kuantum.

Sebaik sahaja tamat kuliah tersebut,  seorang profesor fizik berdiri dan bertanyakan satu soalan yang agark sukar dan tidak  dapat difahami  oleh Chauffer tersebut.

Tetapi, perkara itu tidak membuat Chauffer itu hilang kawalan atau menggelabah, sebaliknya, beliau dengan suara yang tenang, jelas dan begitu meyakinkan, dia berkata.

"Saya terkejut bahawa di bandar maju seperti Munich saya mendapat soalan asas seperti itu. Soalan itu, begitu asas dan  saya yakin bahawa  pemandu saya pun boleh menjawabnya,"

Lalu Chauffer itu memandang ke arah Prof Mac Plank, yang berada di situ yang sedang berpura-pura menjadi “pemandu” kepada Chauffer tadi.

Prof Plank terus bangun dari tempat duduknya dan menjawab dengan fasih dan lancar persoalan yang telah dikemukakan oleh profesor yang bertanya tadi.

Den dapek dapat bayangkan bagaimana perasaan profesor yang bertanya tadi; mungkin rasa malu tak berkesudahan, sebab soalannya, standard “chauffer” saja untuk menjawab.

Dan dalam masa yang sama Den tak dapat nak bayangkan perasaan kelegaan yang  ada pada Chauffer tadi, setelah, Prof Plank menjawab soalan tersebut bagi pihaknya dengan fasih dan lancar.

Walau apa pun, isu yang hendak  Den nyatakan disini, adalah agar kita semua faham bahawa pada hakikatnya, apabila seseorang itu mempunyai ilmu, ianya terbahagi kepada dua kemungkinan, iaitu

Satu taraf pengetahuannya adalah taraf pengetahuan Planck,  (Real Knowledge) iaitu orang yang benar-benar tahu.

Dan yang keduanya  adalah taraf Pengetahuan Chauffer ; (Chauffer Knowledge) di mana walaupun mereka telah belajar untuk kerana sekadar untuk tahu hanya pada tahap asas sahaja ; iaitu “APA” dan tidak habis sehingga peringkat “MENGAPA, KENAPA”

Golongan yang berpengetahuan taraf “Chauffer” ini, biasanya, mereka tidak dapat menjawab soalan yang tidak bergantung pada hafalan. Mereka tidak dapat menjelaskan perkara tanpa menggunakan istilah jargon atau samar-samar. Mereka tidak tahu bagaimana perkara berinteraksi. Mereka tidak boleh meramalkan akibatnya.

Dan pada hari ini sudah tentu kita sudah biasa bertemu dengan orang yang begitu bergaya dah gah penampilannya, tetapi mempunyai ilmu dan pengetahuan tahap “chauffer” sahaja, dan mungkin anda pernah terjumpa mereka yang penampilan amat sederhana seperti “chauffer” tetapi mempunyai pengetahuan seperti Profesor Planck.

Tetapi permasalahannya, agak sukar untuk kita mengenal pasti yang mana mempunyai ilmu dan pengetahuan seperti Profesor Plank dan yang mana ilmunya sama seperti “Chauffer” sahaja.

Kalau tanya Den cara mana nak pastikan kategori mereka adalah dengan bertanyakan kepada mereka soalan yang memerlukan mereka berfikir secara kritis dan rasional untuk menjawabnya seperti pertanyaan “MENGAPA, BAGAIMANA, KENAPA” dan bukannya soalan “APA”.

Inilah yang membezakan samada seseorang itu mempunyai Plank Knowledge atau Chauffer Knowledge, iaitu  ia tentang perbezaan antara mengetahui nama sesuatu  - APA (setakat asas sahaja) dan mengetahui sesuatu. MENGAPA, KENAPA, BAGAIMANA dsbnya  (mengetahui dengan lebih mendalam)

Dari sini dapat kita membuat kesimpulan bahawa, “Chaffeur knowlegde” membawa maksud ilmu yang ada pada seseorang itu hanya merupakan perkara asas sahaja yang berdasarkan kepada hasil pengetahuan secara umum mahupun pendengaran sahaja berbanding dengan Plank Knowledge atau ‘real knowledge’ yang merujuk kepada ilmu yang diperolehi hasil dari pembelajaran secara ilmiah, rasmi, kajian, pemikiran secara kritis dan rasional, pengalaman yang dilalui serta mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap ilmu tersebut.

Justeru itu, para pembaca, lepas pada ini kita, eloklah kita mencari ilmu dan pengetahuan supaya kita boleh menjadi orang yang berpengetahuan seperti Profesor Plank dan bukan seperti Chauffernya, kerana  seperti kata atok kawan Den.....

“Any fool can know. The point is to understand.”

— Albert Einstein